Thursday 19 February 2015

SANTAU

Video perbuatan santau terhadap sebuah restoran. Kredit kepada Sukan Star TV

https://www.facebook.com/SukanStarTV/photos/p.842561852477501/842561852477501/?type=1&theater
Sahabatku… Berhati-hatilah agar diri tidak disantau oleh mereka yang berhati syaitan. Mereka yang penuh dendam kesumat dan kebencian. Kita perlu tahu bagaimana untuk membenteng diri dari terkena santau. InshaaAllah saya akan kongsikan beberapa cara yang diamalkan oleh mak ayah kita, yang diajar oleh tuan guru dan ustaz-ustaz pengamal perubatan Islam. Namun post kali ini saya mulakan topik santau ini dengan memahami apa itu santau dengan lebih dekat dan apakah tujuan mereka yang membuat santau. Maklumat ini saya ambil dari petua dan ilmu yang kawan-kawan ustaz saya ajar dan juga dari perkongsian Tuan Guru Harun Din juga Tuan Haji Mokhtar yang merupakan pakar pencegahan dan rawatan sihir dan santau.
APA ITU SANTAU? Santau adalah sejenis racun dari pelbagai ramuan yang sungguh merbahaya. Ia bukan semata-mata hanyalah ramuan tertentu tetapi juga diserta bersama penglibatan makhluk-makhluk halus atau jin dan amalan sihir. Mentera-mentera dibaca bagi memanggil dan melibatkan jin dalam proses menyantau bertujuan menyeksa dan mendera mangsa secara zahir dan batin, sehingga akhirnya menemui ajal (dengan izin Allah). Itulah tujuan utama sihir ini dilakukan terhadap seseorang yang dituju selain membuat kacau dan huru-hara terutamanya santau angin yang dilakukan pada majlis-majlis yang penting
4 JENIS SANTAU. Santau dapat dibahagikan kepada 4 jenis. Mungkin ada di kalangan sahabat yang dah tahu, dan mungkin ramai lagi yang masih tak tahu. Saya kongsikan agar kita sama-sama mengambil perhatian penting dan berusaha mengelakkan dengan amalan dan pendinding yang akan saya kongsikan dalam post-post akan datang, inshaaAllah. Empat jenis santau yang ditakrifkan oleh pengamal rawatan dan pencegahan Islam adalah santau makan dan minum, santau angin, santau tuju dan santau langkah.
SANTAU MELALUI MAKANAN. InshaaAllah 4 jenis yang saya nayatakan di atas saya akan terangkan satu persatu secara mudah dan ringkas. Pertamanya santau makan dan minum. Santau jenis ini menggunakan makanan dan minuman dengan memasukkan ramuan sihir dan menghidangkan kepada mangsa. Bagi mereka yang tak ada ilmu dan amalan pendinding, ramuan yang dimasukkan tidak dapat dikesan dan nampak macam makanan biasa. Namun bagi mereka yang tahu dan amalkan ilmu pendinding diri, makanan tersebut dapat dikesan mengandungi ramuan sihir atau santau. Diperlihatkan oleh Allah seumpama makanan tersebut luar dari biasa. Ada yang nampak seolah-olah hidangan tersebut mendidih seperti berada di atas api. Ada juga ditunjukkan Allah dengan pinggan atau cawan pecah atau retak bila disentuh. Dan macam-macam lagi tanda yang di’share’ oleh para ustaz pengamal perubatan Islam bila berbicara tentang tanda-tanda makanan yang disantau.
SANTAU ANGIN. Jenis santau yang kedua yang nak saya bincangkan di sini adalah santau angin. Ia dilepaskan atau dihantar menuju mangsa menggunakan tiupan angin. Secara biasanya ia dilakukan dengan diselesitkan di bawah kuku lalu dijentik bahan santau beracun tersebut ke arah orang ramai. Santau jenis ini dilakukan atau dilepaskan dalam majlis keramaian, majlis kenduri kendara, majlis perkahwinan juga kedai makan. Sasarannya adalah orang ramai yang berada di tempat tersebut. Maka ramailah yang pasti terdedah dan menjadi mangsa termasuklah orang tua, dewasa, remaja dan tak terlepas kanak-kanak. Mungkin tidak semua yang kena, mereka yang dilindungi Allah akan terselamat, namun majoriti yang terkena santau tersebut akan mengalami simptom-simptom dan keadaannya yang sungguh dahsyat dan menyeksakan.
SANTAU TUJU. Santau jenis yang seterusnya adalah santau tuju. Sasaran mangsa bagi santau ini telah dikenalpasti dari awal lagi. Ia dilepaskan dengan diniatkan khusus untuk mangsa tertentu. Rumah mangsa, masa tidurnya dan sebagainya telah dikenalpasti. Bila malam menjelang santau ini dilepaskan dan kesannya sungguh dahsyat. Mangsa akan mengalami muntah darah dengan serta merta. Dikatakan bila santau ini dilepaskan ia kelihatan seperti kunang-kunang yang bercahaya menuju ke rumah atau ke tempat mangsa. Ada juga yang mengatakan ia seperti tahi bintang yang melayang setinggi pokok kelapa pantas bergerak mencari mangsanya. Dipercayai santau jenis ini pantang dilihat semasa ia dilepaskan bimbang akan tersasar dan mengena orang lain.
SANTAU LANGKAH. Santau keempat dan yang terakhir adalah santau langkah. Ia juga seperti santau tuju yang mengenalpasti mangsa tetapi dilakukan dengan meletakkan di tempat yang biasa dilalui oleh mangsa terutamanya di pagar rumah, pintu pejabat, atau tempat laluan utama mangsa. Bila ramuan santau yang diletakkan ini dilangkah, ia terus menyerang mangsa. Sama-samalah kita mengambil langkah berjaga-jaga dan seboleh mungkin mengelak diri dari sebarang permusuhan atau perselisihan. Di samping itu juga kita perlu amalkan ayat-ayat pendinding dan mengetahui petua-petua penting untuk mengelak perbuatan santau. Satu lagi yang juga penting adalah mengenalpasti tanda-tanda atau simptom diserang santau. Jika ada bersegeralah mendapatkan rawatan dengan mereka yang mahir dan menggunakan kaedah rawatan Islam.
Maklumat dan penulisan berkaitan dengan santau ini telah saya ambil daripada web Tuan Zainal Rashid. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan. 
Buat sahabat-sahabat yang lain, inshaAllah dipost yang baru saya akan paparkan maklumat tambahan berkaitan dengan cara mengubati santau ini, inshaAllah...

No comments:

Post a Comment