Wednesday 18 February 2015

5 TIPS MURAH REZEKI CARA ISLAM

Setiap seorang dari kita mahukan rezeki yang berkat untuk diri dan keluarga kan. Kadang-kadang takrifan rezeki yang cukup tu berbeza. Ada yang sederhana tapi cukup untuk bawak keluarga jalan-jalan ketika cuti sekolah. Ada yang banyak duitnya, tapi takde masa yang cukup untuk nak bergelak tawa bersama anak isteri. Justeru, bagaimanakah caranya kita nak menjemput rezeki yang berkat supaya datang bertamu dalam kehidupan kita?

Saya kongsikan beberapa tips untuk kita semua:

1. Menyempatkan diri  beribadah
Allah telah menjanjikan bahawa DIA tidak akan mensia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis kudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
Daripada  hadis kudsi ini kita dapat lihat bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah walau apa jua keadaan. justeru sesibuk manapun kita dalam melayari kehidupan ini, susunlah waktu dengan sebaiknya untuk  tunaikan solat 5 waktu serta beribadah sebanyak-banyaknya.
2. Memperbanyakkan Istighfar
Istighfar adalah lafaz atau perbuatan rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah SWT, yang menjadi penyebab Allah jatuh kasih dan kasihan terhadap hamba-Nya lantas Allah berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Dengan selalu beristighfar, insya-Allah dosa-dosa kecil yang selama ini dilakukan akan dapat dihapuskan dengan izin Allah SWT.
Berdasarkan Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3.Tinggalkan Maksiat
Istighfar tidak bernilai di sisi Allah sekiranya masih selalu berbuat dosa. Dosa-dosa yang dilakukan bukan sahaja akan menjadikan hati resah gelisah, malahan juga akan menutup pintu rezeki. Ia akan menjadi batu penghalang daripada rezeki mengalir kepada kita. Sudah tentu kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku, bukan? Jika para pembaca mengikuti artikel keluaran yang lalu, ada menceritakan tentang Istidraj, iaitu Allah tetap memberikan kekayaan dan kemewahan kepada hamba-Nya walaupun terus-menerus melakukan dosa. Perkara ini harus kita elakkan agar kemurkaan Allah dapat kita hindari..
Sabda Nabi Muhammad SAW:
“…dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
Betapa pentingnya kita menjaga amalan supaya rezeki yang Allah kurniakan kepada kita itu adalah berserta dengan berkat dari-Nya, bukannya berserta kemurkaan-Nya. Na’uzubillah! Ayuhlah kita sama-sama menjaga amalan agar seluruh isi kehidupan kita ini diberkati oleh-Nya.
4. Sentiasa ingat Allah
Ketahuilah bahawa dengan banyak mengingati Allah, ia akan membuatkan hati menjadi tenang dan kehidupan terasa lapang. Kelapangan rezeki seperti ini hanya dapat dinikmati oleh orang-orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :-
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah. Ketahuilah dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah Ar-Ra’d : ayat28)
Ketenteraman inilah yang sebenarnya menjadi dambaan seluruh umat manusia sama ada yang kaya mahupun yang miskin. Hanya zikirlah  yang mampu memberikan ketenangan jiwa zahir dan batin kepada kita.
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar sesiapa yang ingin panjang umur dan dilapangkan rezekinya, maka hendaklah mereka berbakti kepada kedua ibu bapanya serta  menyambung tali silaturrahiim. Baginda Rasulullah SAW juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan kedua ibu bapa juga menjadi sebab terbukanya pintu rezeki, berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW lagi :-
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat : al-Hakim dan ad-Dailami)
Maka dengan 2 hadis sahih ini, termaktublah kepentingan kita berbakti kepada kedua ibu bapa kerana mereka yang telah bersusah payah melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa dan berjaya menguruskan kehidupan sendiri. Berbaktilah kepada kedua-dua orang tua selagi mereka masih bernafas kerana ia menjadi asbab yang kukuh mengalirnya sungai dan limpahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.
http://mohdherman.blogspot.com/2012/10/petua-amalan-solat-dhuha-murah-rezeki.html

Kredit untuk tips ini saya berikan kepada saudara Irfan Khairi.
http://www.irfankhairi.com/blog/perniagaan/10-tip-untuk-murah-rezeki-cara-islam-bahagian-1/

2 comments:

  1. ramai manusia mencari rezeki tapi mereka lupa cari rezeki dengan berlandaskan pada agama. satu perkongsian yang menarik. semoga Allah beri Cikgu syurga. salam kenal dan salam singgah. ;)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih luangkan masa utk membaca. InshaAllah saudara, moga Allah akan memberi ganjaran syurga kepada kita semua.. :)

    ReplyDelete