Wednesday 16 March 2016

Mengenali Identiti Anak Remaja

Kali ni saya akan berkongsi sedikit tentang cara-cara ibu bapa untuk mengenali perangai sebenar anak-anak kita. Ini kerana, berdasarkan kes-kes yang pernah saya tangani, kebanyakan anak-anak kita akan mempunyai split personaliti. Maksudnya, kalau di rumah dialah anak yang kita idamkan tetapi apabila berada di sekolah atau bersama-sama dengan rakan, mereka akan berubah menjadi diri mereka yang satu lagi. 

Jadi, sekiranya timbul masalah di sekolah dan apabila guru menceritakan keperibadian anak-anak kita, ketika itulah kita akan merasa terkejut dan separuh daripada ibu bapa tidak akan percaya pada permulaannya tentang apa yang diceritakan oleh guru sehinggalah satu demi satu bukti dikeluarkan.




Sebagai contoh, saya ingin kongsikan satu kes di sekolah saya. Pelajar lelaki tersebut baru menjengah Tingkatan 2 dan kes yang dilakukannya adalah mencabul dan mengugut. Perkara tersebut telah dilakukan oleh beliau sejak dari bulan Januari sehingga bulan Mac terhadap 3 orang pelajar perempuan. Mangsa-mangsa tidak berani untuk memberitahu kepada mana-mana guru kerana bimbang akan ugutan yang mereka terima. Sehinggalah ke satu tahap di mana mereka tidak mampu menahan lagi dan malu pada kawan-kawan, barulah mereka berjumpa dengan saya dan menceritakan perkara sebenar.

Selepas semua prosedur dan siasatan, pelajar lelaki tersebut telah mengakui kesalahan beliau dan langkah seterusnya adalah mengadakan perbincangan bersama keluarga. Ketika inilah dimana ibu pelajar terbabit datang dan dengan penuh keyakinan menyatakan bahawa tuduhan pelajar-pelajar wanita tersebut adalah palsu dan ibu tersebut mahu menyoal siasat mereka sendiri. Alasan yang diberikan, anaknya merupakan seorang anak yang baik, mendengar cakap dan jarang keluar malam. Malah saya juga menerima panggilan telefon daripada Makcik pelajar tersebut yang tinggal di Pulau Pinang, turut membuat pembelaan kepadanya. 

Setelah bukti yang ada dikeluarkan satu persatu, baru ternampak riak di wajah ibu pelajar tersebut seakan sedikit malu. Tapi, masih mengatakan bahawa perlakuan anaknya itu didorong oleh pelajar lain. Secara keseluruhannya kes telah diselesaikan dengan cara terbaik dan hukuman yang sepatutnya telah dijalankan. Tetapi, saya seperti biasa masih dikejar dengan panggilan telefon daripada makcik pelajar terbabit menyatakan ketidakadilan sekolah terhadap anak buahnya. Itulah lumrah guru sekarang.. haha..

Ok, jadi saya nak kongsikan tipsnya berdasarkan pengalaman saya ok.


  1. Check telefon anak.
       Daripada telefon anak kita, sebagai ibu bapa kita dapat mengetahui banyak perkara. Contohnya, siapakah kawan anak-anak kita? Apakah bahasa yang sering digunakan? Topik yang sering dibincangkan? Laman web yang sering dilawati (check juga history) dan no2 yang selalu berhubung dengan anak kita. 

   2.  Berbual dengan kawan-kawan anak

    Seterusnya setelah kita kenal kawan-kawan mereka, maka baik untuk kita berbual dengan mereka. Daripada perbualan tersebut, ambil tahu tentang cara percakapan yang mereka gunakan, cara berpakaian mereka, bahasa badan mereka dan tanyakan tentang aktiviti harian mereka.


 3.  Berkomunikasi dengan guru.

   Ibu bapa boleh terus datang ke sekolah tanpa pengetahuan anak untuk bertanyakan tentang keadaan anak di sekolah. Lapangkan minda untuk menerima sebarang maklum balas daripada guru. Kerana sejujurnya guru tidak akan berlaku bias terhadap pelajar. 

4.  Berkomunikasi dengan anak.

  Faktor ini merupakan antara yang terpenting. Ramai ibu bapa yang menyediakan kemudahan dengan sempurna, wang belanja yang lebih dari cukup namun mereka tidak mementingkan komunikasi antara mereka dan anak. Daripada perbualan tersebut ibu bapa dapat mengenal pasti apakah minat terbaru anak-anak kita, adakah mereka jujur dengan percakapan mereka, adakah terdapat perkara-perkara yang membingungkan kehidupan mereka yang dapat dibantu oleh ibu bapa dan sebagainya. 

5.  Mengajak untuk solat berjemaah.

  Sekiranya ajakan ibu bapa untuk solat bersama-sama tidak dihiraukan oleh anak-anak, maknanya sesuatu yang kurang baik sedang berlaku dalam diri mereka. Ibu bapa perlu melakukan tindakan pengesanan dan pemulihan masalah. Solat mempunyai kekuatan yang memang diakui oleh semua orang. Oleh itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh terlebih dahulu dengan solat di awal waktu dan secara berjemaah, barulah anak-anak akan mengikuti kita. Kita jaga Allah, Allah akan jaga kita, insha Allah..